Dato C Sivarraajh masih lagi Ahli Parlimen yang sah Cameron Highlands -Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

Dato C Sivarraajh masih lagi Ahli Parlimen yang sah Cameron Highlands
-Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi

Kuala Lumpur, Dis.5-
     Saya selaku Pengerusi BN memandang serius tindakan Yang Dipertua Dewan Rakyat memerintah Ahli Parlimen Cameron Highlands, Dato C Sivarraajh meninggalkan Parlimen kerana ia  bertentangan dengan Perkara 50 Perlembagaan Persekutuan kata Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
         Ini kerana kes pembatalan keputusan pilihan raya  Cameron Highlands masih lagi dalam proses rayuan dan beliau masih lagi Ahli Parlimen yang sah.
       Tidak ada sebab Dato Sivarraajh diusir semata-mata kerana desakan Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, tanpa meneliti peruntukan Parlimen. Apabila Mahkamah Pilihan Raya membatalkan kemenangan beliau dan menyebabkan kemungkinan satu pilihan raya kecil  diadakan, pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan tersebut boleh membuat rayuan ke Mahkamah Persekutuan.
            Mereka boleh memfailkan notis rayuan dalam masa 14 hari dari tarikh keputusan sepertimana termaktub di bawah Seksyen 36A(2) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.
        Jika dirujuk Seksyen 36C akta tersebut pula, keputusan Hakim Pilihan Raya adalah muktamad hanya setelah tiada sebarang rayuan yang difailkan dalam masa 14 hari dari tarikh keputusan.
    Justeru itu, keputusan membatalkan kemenangan beliau di Cameron Highlands tidak ada kaitan dengan kehadiran di sidang Dewan Rakyat kerana beliau akan membuat rayuan dalam tempoh 14 hari yang ditetapkan.
        Oleh itu kerusi Parlimen Cameron Highlands tidak boleh dikosongkan mengikut Perkara 50 Perlembagaan Persekutuan sehingga Hakim Pilihan Raya memperolehi keputusan kes rayuan Mahkamah Persekutuan.
         Yang Dipertua Dewan Rakyat perlu membenarkan Dato Sivarrajjh menghadiri sidang Parlimen sepertimana diperuntukkan di bawah Undang-undang Pilihan Raya kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Comments

  1. Just follow the akta....you ppl who created the akta.now why you ppl wants to denied

    ReplyDelete

Post a Comment