*Waytha Moorthy jadi ayam tambatan, penjenayah masih bebas* - Ahmad Bustaman Ismail Kuala Pilah, Negeri Sembilan

*Waytha Moorthy jadi ayam tambatan, penjenayah masih bebas*
- Ahmad Bustaman Ismail
Kuala Pilah, Negeri Sembilan

Seremban, Dis.18-
     Sejak kematian anggota Bomba Muhammad Adib diumumkan malam Isnin, media social menjadi huru-hara dengan pelbagai tohmahan yang dilemparkan terhadap pihak-pihak tertentu.

Ada yang menyengat  dan ada pula yang dibuat untuk menyakitkan hati segelintir masyarakat Malaysia, yang telah hidup aman dan damai semenjak kemerdekaan negara 60 tahun yang lalu.

Rata-rata pengamal media sosial berebut-rebut mancari ayam tambatan untuk melepaskan geram atas kematian anggota Bomba kita yang meninggal dunia akibat serangan sekumpulan orang yang tidak dikenali di perkarangan sebuah kuil di USJ, Subang Jaya.

Yang peliknya ada pula pihak tertentu yang melepaskan geram mereka kearah Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator P.  Waytha Moorthy,  inginkan beliau dilucutkan jawatan Menteri.

Adakah Waytha Moorthy pembunuh Muhammad Adib atau adakah Waytha Moorthy yang menyebabkan pertelingkahan diantara dua kumpulan yang berlainan bangsa di kuil tersebut lebih sebulan yang lepas?

Jawapannya tentu tidak. Pergaduhan antara dua pihak iaitu pemaju dan penganut di kuil tersebut tidak sesekali berkaitan dengan Menteri itu atau berbaur perkauman.

Bila dikupas satu persatu insiden tersebut, amat jelas bahawa pergaduhan ini tidak melibatkan Waytha Moorthy. Akan tetapi kenapa pula ada pihak yang tertentu yang menyalahkan Menteri itu sebagai punca kematian Muhammad Adib?

Mungkin kerana mereka sudah mempunyai tanggapan awal terhadap Waytha Moorthy, yang dahulunya aktif dalam pergerakan Hindraf, memperjuangkan hidup rakyat India Malaysia.

Mungkin juga kerana ‘kesilapan’ Menteri itu sendiri yang membaca teks kenyataan media yang dipersetujui oleh tiga lagi Menteri kabinet dan seorang Timbalan Menteri sejurus selepas insiden tersebut di kuil itu.

Dalam sidang media tersebut, Waytha Moorthy dibelakangi tiga lagi Menteri, dua orang Timbalan Menteri dan beberapa ahli Parlimen termasuk yang berbangsa Melayu, telah menyoal tindakan Ketua Polis Subang Jaya yang membuat kenyataan mengatakan  pergaduhan tersebut pada awal pagi itu adalah diantara dua kumpulan India.

Dalam sidang media tersebut Waytha Moorthy telah mempertikaikan kenyataan Ketua Polis Subang Jaya malah beberapa jam selepas itu Timbalan Ketua Polis Negara telah mengesahkan kejadian itu berlaku kerana pemaju One City telah mengupah gangster Melayu untuk mengosongkan kuil tersebut.

Malah Menteri Dalam Negeri Muhyiddin Yassin juga mengesahkan kejadian tersebut dan menegaskan kejadian tersebut bukanlah berasaskan perkauman.

Ini adalah ‘kesalahan’ Waytha Moorthy. Kini, tiga lagi Menteri dan seorang Timbalan Menteri itu tidak dijadikan sasaran tetapi hanyalah Waytha Moorthy.

Kenapa ini berlaku? Adalah kerana beliau seorang senator yang dilantik? Adakah kerana beliau merupakan aktivis yang memperjuangkan hak untuk semua? Atau adakah perkara ini dilakukan untuk memalukan kerajaan Pakatan Harapan pimpinan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad?

Menjadikan Waytha Moorthy sebagai sasaran mungkin telah dirancang dari awal lagi. Adakah patut seorang Menteri dilucutkan jawatan semata-mata beliau membacakan kenyataan media awal yang mengambarkan situasi yang sebenar?

Menunding jari terhadap seseorang itu senang lebih-lebih lagi  apabila yang meninggal itu merupakan seorang Melayu dan yang mereka yang disyaki itu terdiri dari kaum lain.

Semalam Waytha Moorthy telah mengeluarkan ucapan takziah beliau kepada keluarga Muhammad Adib tetapi beliau dicemuh dengan kata-kata kesat. Adakah ini adat  orang Melayu?

Ini tidak, belum tahu isu penuh, kita dah melantun. Kita banyak bercakap dari berfikir. Cubalah berfikir secara rasional. Jangan bertindak melulu tanpa berfikir.

Inilah cara kita, Melayu Malaysia. Ingatlah wahai sabahat, amalan agama Islam tidak sesekali membenarkan umatnya mencemuh, mengugat dan melemparkan fitnah terhadap orang lain biarpun dia bukan Islam.

Menggunakan emosi untuk menangi masalah atau isu adalah cara yang kurang cerdik dalam mencari penyelesaian.  Itulah yang berlaku sekarang.

Kita sebagai umat Islam dan bangsa Melayu yang penuh dengan sopan santun perlu melihat isu ini secara rasional. Jika tidak, tak payahlah  luahkan isi hati di media sosial dengan kata-kata kesat semata-mata untuk mengotakan cita-cita sebagai hero bangsa!

Comments

  1. Write a proper grammer .while prepare the report. Dont publish wrong word

    ReplyDelete

Post a Comment