Khaled jangan angkuh kata BN menang tanpa sokongan Cina, India'

Khaled jangan angkuh kata BN menang tanpa sokongan Cina, India'

B Nantha Kumar

KUALA LUMPUR-MARCH 5-
 Dewan Negara MIC, Dato S.Ananthan hari ini menggesa Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin supaya tidak "terlalu angkuh" dengan kemenangan BN di pilihan raya kecil (PRK) Semenyih.

Ananthan berkata demikian sebagai merujuk kenyataan Mohamed Khaled yang menyifatkan BN memenangi PRK itu tanpa sokongan masyarakat Cina dan India.

"Yang pertama, saya ingin mendesak Mohamed Khaled janganlah angkuh sangat dengan kemenangan Semenyih. Sebelum menang bersorak (mengaku) BN, selepas menang cakap Umno mampu menang tanpa sokongan Cina dan India.

"Belajarlah daripada bekas perdana menteri Najib Razak yang berjaya menambat hati pengundi Melayu sambil menjaga sensitiviti bukan Melayu. Ini baru pemimpin untuk semua kaum," katanya kepada Malaysiakini.

ADVERTISEMENT



 ADVERTISEMENT

Justeru, Ananthan mencabar Mohamed Khaled mengumumkan secara terbuka bahawa BN tidak perlukan sokongan Cina dan India.

"Saya cabar beliau untuk mengumumkan tidak perlu sokongan Cina dan India di PRK Rantau. Sudikah Mohamed Khaled?" katanya.


Dalam kenyataannya semalam, Mohamed Khaled berkata sokongan pengundi Cina dan India tidak lagi menjadi penentu kemenangan pilihan raya.

"Oleh yang demikian, bangsa Cina dan India sebenarnya tidak mempunyai pilihan kecuali mencari jalan bekerjasama dengan parti politik Melayu yang dominan," kata Mohamed Khaled.

Bekas menteri besar Johor itu bagaimanapun menegaskan bahawa BN mesti bekerja lebih keras untuk mengembalikan sokongan India dan Cina kepada BN.

PH mungkin rampas semula Semenyih

Mengulas lanjut, Ananthan mengingatkan Mohamed Khaled bahawa BN masih mempunyai perjalanan yang jauh dan tidak mustahil PH memenangi semula kerusi Semenyih pada pilihan raya umum (PRU) ke-15.

"Mungkin orang kata, saya membebel tapi sebenarnya secara matematik ia masih boleh berlaku," katanya.

Ananthan berhujah bahawa faktor utama kemenangan BN di Semenyih adalah sokongan PAS dan bukannya populariti Umno.


"Kalau kita lihat, sokongan pengundi yang beralih daripada PH ke BN hanya tujuh peratus sahaja.

"Dicampur dengan sokongan PAS baru kita dapat sokongan 59 peratus. Iaitu lebih kurang 16 peratus daripada 35.33 peratus yang diperolehi pada PRU ke-14.

"Tetapi, kita perlu ingat tujuh peratus ini pengundi atas pagar sentiasa akan berubah. Dalam masa lebih empat tahun, saya tidak menolak kemungkinan PH akan rampas kembali pengundi ini," katanya.

Ananthan turut berkata peratusan keluar mengundi dari kalangan pengundi bukan Melayu yang rendah turut mempengaruhi keputusan di PRK Semenyih yang berpihak kepada BN.

"Peratus pengundi Melayu keluar mengundi adalah lebih 80 peratus diikuti India dalam 70 peratus dan Cina adalah kurang 65 peratus.

"Sekiranya, peratus pengundi Cina dan India bertambah pada masa akan, maka peluang BN semakin kurang.

"Kita tahulah pengundi bandar tak kira bangsa apa akan sokong siapa. Maka, peluang Umno menang semula di Semenyih agak rendah tanpa sokongan Cina dan India," katanya.

Untuk rekod, DUN Rantau merupakan kerusi campuran merangkumi 53 peratus Melayu, India sebanyak 27 peratus, 19 peratus pengundi Cina dan lain-lain sebanyak satu peratus.

Comments